Monthly Archives: December 2010

Ucapan Ketua Cabang di Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2, Kepala Batas

1) Alhamdulillah, parti telah memberi amanah kepada Ketua Cabang yang juga Pengarah Strategi Pusat, Saudara Rafizi Ramli untuk mewakili parti memberi ucapan di Konvensyen Pakatan Ke-2 baru-baru ini.

2) Beliau adalah wakil yang terakhir berucap sebelum digulung oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. Selain Saudara Rafizi, Keadilan diwakili oleh YB Nurul Izzah (Naib Presiden), Saudara Surendran (Naib Presiden) dan YB Chang Li Kang (ADUN).

3) Saudara Rafizi menumpukan perhatian kepada persoalan undi Melayu dan tindakan jahat Umno melemahkan orang Melayu semata-mata untuk berkuasa. Beliau juga memetik sejarah bagaimana sejak zaman dahulu kala, perjuangan mengangkat keadilan dikira tuntutan yang wajib demi memartabatkan kedaulatan Sultan.

4) Ucapan beliau disiarkan sepenuhnya dibawah:

 

Leave a comment

Filed under Nasional

Ketua Wanita, Saudari Siti Dalilah Mewakili Terengganu di Kongres

Pihak Cabang ingin mengucapkan tahniah kepada Saudari Siti Dalilah, Ketua Wanita yang telah mewakili Majlis Pimpinan Negeri Terengganu berucap di Kongres Nasional yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Beliau telah membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden.

Berikut adalah teks ucapan yang disampaikan beliau:

Assalamualaikum wbth dan salam sejahtera, salam reformasi

Yang dihormati Tuan Pengerusi Tetap, pimpinan parti di semua peringkat, saudara-saudari perwakilan yang saya hormati sekalian

Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Pimpinan Negeri Terengganu kerana memberi peluang untuk berbahas pada hari ini, walaupun inilah kali pertama saya menghadiri kongres. Ini kekuatan kita sebagai sebuah parti – kalau dalam parti lawan, mereka bergelumang dengan rasuah untuk mendapat tempat dala parti, tetapi dalam KEADILAN kita masih mekar dengan semangat memberi ruang kepada muka baru.

Saya ingin mengulas mengenai persediaan parti terutamanya di peringkat akar umbi untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13). Kita sekarang hebat diperlekehkan dan perjalanan kita ke Putrajaya dianggap sudah berkecai oleh juak-juak musuh kita. Kata mereka, kita terlalu taksub dengan mengejar kuasa untuk ke Putrajaya. Ada juga suara-suara dalaman yang sumbang dan mempersoalkan kenapa kita perlu menumpukan perhatian ke arah Putrajaya. Ada juga yang mengatakan bahawa ini menyimpang dari semangat asal reformasi.

Saudara-saudari perwakilan yang saya hormati

Ada beza di antara parti yang gilakan kuasa untuk tembolok mereka, dan parti yang perlu mendapatkan kuasa untuk melaksanakan agenda perubahan yang ingin dibawa. Pengalaman kita berkuasa di lima buah negeri dan satu wilayah persekutuan menunjukkan bahawa dalam kerangka persekutuan yang ada sekarang, keupayaan kita untuk meneruskan agenda perubahan adalah terhad apabila kuasa persekutuan masih lagi dipegang oleh musuh. Banyak agenda reformasi yang kita perjuangkan disekat oleh kuasa persekutuan yang dipegang oleh musuh.

Makanya, kita jangan termakan dengan taktik musuh yang memang niatnya melemahkan semangat dan tumpuan kita dari Putrajaya, kerana mereka tahu itulah nisan mereka. Kalau kita sampai ke Putrajaya, justeru parti-parti perkauman yang ada di negara ini akan terkubur dengan sendiri.

Pun begitu, perjalanan untuk sampai ke Putrajaya ini tidak akan datang bergolek. Ya, memang kita ada pemimpin besar yang boleh memukau dan menambat hati rakyat. Sekali pemimpin kita turun ke cabang kita, puluhan ribu boleh dikerah dan semangat rakyat akan dibakar ke arah perubahan.

Tetapi bagaimana kita nak gerakkan puluhan ribu rakyat menyahut agenda reformasi kalau kita tidak ada kekuatan langsung di cabang-cabang? Kalau di cabang, setiap kali mesyuarat dipanggil yang hadirnya hanyalah 10 orang? Kalau pejabat parti di cabang pun tidak wujud?

Sebab itu, kita tidak boleh lari dari persoalan menguatkan kekuatan cabang. Ini kerja yang paling tidak glamour dan paling sukar, terutamanya kalau cabang itu memang tidak kuat. Sukar untuk menarik minat orang-orang baru kalau urusan kita sekarang pun berkecamuk.

Lebih sukar, kalau kita sekarang bertempur sesama kita. Pandangan masyarakat setempat kepada kita juga akan pudar dan menyukarkan meyakinkan rakyat untuk memilih kita kelak. Sebab itu saya agak tercuit – sedih pun ada, risau pun ada, marah pun ada – dengan beberapa episod tidak enak yang berlaku di cabang-cabang sepanjang musim pemilihan ini. Ada yang kunci pintu pejabat, ada yang bertengkar, ada yang perselisihan faham antara calon-calon dan kumpulan mereka yang berlarutan.

Kalau beginilah fokusnya pemimpin kita di cabang dalam menguatkan jentera cabang, sepatutnya tidak timbul soal tidak cukup orang di cabang. Kalau kita boleh ambil serius mengenai pemilihan di peringkat cabang sehingga sedemikian rupa, sepatutnya lebih baik kalau fokus diberikan untuk menguatkan cabang – cari anggota baru, cari dana, banyakkan ceramah kelompok dan lain-lain.

Saudara-saudari yang saya hormati

Kami di Terengganu berdepan dengan masalah ini. Saya orang baru yang baru setahun jagung menyertai parti, memang awalnya sukar untuk menjawab rasional kenapa perlu kekal dalam parti ini apabila yang kita nampak banyak permainan politik di peringkat akar umbi yang tidak menguntungkan perjuangan. Terlalu banyak puak sehinggakan tenaga dihabiskan bertelagah sesama sendiri.

Sedangkan kedudukan kita di mata lawan dan juga parti rakan dalam Pakatan Rakyat sangat rendah, akibat kelemahan jentera cabang kita. Keadaan di Terengganu lebih unik, kerana Terengganu ini boleh dianggap sebagai negeri yang berpotensi untuk berubah kalau kena caranya. Kehadiran PAS di Terengganu juga cukup kuat, jadi kalau kita hidup segan mati tak mahu, di mata mereka kita hanya melukut di tepi gantang dan semestinya kita dilayan seperti antah yang terbang mengikut arah angin bertiup.

Sebab itu, saya ingin menjemput rakan perwakilan untuk menyahut seruan yang dibuat Presiden pagi ini. Biduk lalu, kiambang bertaut – kita rapatkan saf dan tumpukan perhatian menguatkan jentera parti di cabang-cabang untuk menghadapi pilihanraya.

Di cabang saya, secara perlahan-lahan kita sudah mulakan usaha ke arah ini. Kita kaji keputusan pilihanraya umum yang lepas. Kalau melihatkan keputusan, memang menakutkan. Kemaman adalah bahagian Umno yang mempunyai ahli paling ramai di seluruh Malaysia. Kemaman boleh dianggap lubuk puaka bagi KEADILAN – Menteri Besar pun di situ, anak bekas Menteri Besar pun di situ, Menteri Persekutuan dan ahli EXCO. Kalau kita hendak menang di Kemaman, kita perlukan pertambahan 5,000 undi baru orang Melayu dan 1,200 undi kaum Tionghua.

Bukan tugas yang mudah apabila ranting kita hanyalah ada beberapa ranting dan kita baru sahaja menubuhkan Jawatankuasa Daerah Mengundi. Kita anggarkan kita perlukan paling kurang 100 orang PACA kalau kita letakkan hanya 2 orang di setiap Daerah Mengundi. Nak cari 100 orang PACA, sedangkan yang keluar mengundi untuk MPP baru-baru ini hanya 70 orang. Itu belum dikira petugas yang pasang poster, perayu undi dari rumah ke rumah dan banyak tugas lain.

Jadi saudara-saudari, tanggungjawab kita terlalu besar. Kalau ikut hati, memang kita cemburu dengan negeri-negeri yang kita sudah berkuasa. Mereka sudah ada kekuatan dan tidak payah pening kepala cari orang dan latih petugas; sepatutnya petik jari ratus-ratus yang datang.

Sepatutnya inilah syarat bagi semua kerusi Parlimen yang kita sudah menangi, dan juga kerusi-kerusi baru yang jadi sasaran kita. Paling kurang, ada 200 orang petugas yang telah dilatih menjadi PACA dan menggerakkan parti. Paling kurang, cabang itu perlu ada pusat khidmat masyarakat di setiap DUN dan ada JK kita sendiri di setiap JDM. Paling kurang, setiap bulan ada program penerangan yang berkesan di peringkat cabang. Paling kurang, kita sudah mengkaji keputusan pilihanraya, menetapkan strategi kita mempertahankan kerusi itu.

Kalau tidak, memang perjalanan kita ke Putrajaya akan terbantut. Kalau tidak, memang betul kalau orang kata selepas pemilihan baru-baru ini, kita menang sorak tapi kampung tergadai.

Untuk itu, Terengganu mencadangkan supaya JK Pilihanraya Pusat atau JPRP memantau dengan dekat kekuatan cabang kita di semua 31 kerusi yang kita akan pertahankan dan 15 sasaran kerusi baru dalam PRU13. JPRP perlu turun secepat mungkin dan pastikan semua jentera asas di cabang-cabang ini sudah ada. Kemudian, JPRP kena pantau setiap dua minggu sekali perjalanan program di cabang-cabang ini – kalau dibiarkan semata-mata kepada kepimpinan cabang, takut-takut tidak terbuat.

Kalau ini sudah dibuat di kerusi-kerusi penting ini, kemudian bolehlah menjenguk kami di kerusi-kerusi tegar Umno ini untuk membantu. Memang sukar, tapi kita orang KEADILAN jadi kita akan LAWAN tetap LAWAN.

Sekian, wassalamualaikum wbth.

Leave a comment

Filed under Nasional