Monthly Archives: January 2011

Pengajaran Berjuang: Dari penampal poster ke YDP PAS

Untuk renungan semua pejuang kebenaran di seluruh Malaysia – kalau namanya perjuangan, maknanya susah!

oleh Subky Abdul Latif

HAJI Ismail Harun yang dikenali Abang We, Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman bercakap dengan isteri saya pada 7 Oktober 2010 tentang satu majlis mengenang tokoh PAS Kemaman pada malam 9 Oktober. Adakah saya dapat datang?

Saya diminta datang kerana saya adalah calon PAS bagi kawasan Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya umum tahun 1982.

Saya pun hadir. Menjelang Maghrib Abang We menelefon saya orang-orang PAS Kemaman minta saya membuat satu pengkisahan ringkas tentang pertandingan saya dalam pilihan raya itu.

Apa yang saya ingat tentang kisah 28 tahun lalu?

Kebanyakan yang bekerja kuat untuk pilihan raya datang bertongkat ke majlis itu malam itu. Rupanya PAS Kawasan Kemaman merayakan ulang tahun Jubli Emas penubuhannya. Sekalian ahli jawatankuasa kawasan sejak penubuhannya 50 tahun dulu hingga ke hari ini dan setiap calon pilihan raya dikenang dan dianugerah tokoh.

Empat bulan menjelang Pilihan Raya Umum itu PAS memutuskan saya menjadi calon Parlimen kawasan Kemaman. Saya tidak kenal sesiapa di Kemaman kecuali keluarga isteri saya yang semuanya Umno.

Tiga bulan sebelum pilihan raya saya tiba ke Kemaman untuk mengenalkan diri dan untuk memulakan kerja-kerja pilihan raya.

Walau PAS kuat di Negeri Terengganu, ia membentuk kerajaan negeri tahun 1959, ia mendapat undi lebih banyak dari Perikatan bagi seluruh Terengganu dalam PRU 1969 tetapi Adun Perikatan lebih ramai, hampir ia membentuk kerajaan semula. Tetapi Kemaman adalah sebuah kawasan Umno di Pantai Timur yang sama kuatnya dengan kawasan-kawasan Umno di pantai barat Semenanjung.

Kemaman kira-kira satu pertiga dari keluasan Negeri Terengganu. Sempadan di sebelah selatan dari Jabor dan Geliga di sempadan Pahang hingga ke pangkal bandar Dungun di utara dan baratnya hingga ke Pasir Raja.

Masa itu cawangan PAS hanya tujuh buah saja. Pusat mengundi lebih banyak dari cawangan. Satu cawangan kira-kira terpaksa bertanggungjawab atas tiga atau empat atau lima pusat mengundi.

Tidak semua cawangan ada pejabat dan tidak semua rumah ketua cawangan ada telefon. Masa itu tidak telefon bimbit seperti sekarang. Tiada email dan internet.

Jika ada perkara perlu yang hendak disampai kepada ketua atau jawatankuasa PAS Cawangan Kemasik, saya dan Ustaz Awang Dagang, ketua PAS Kawasan masa itu terpaksa pergi ke rumah ketua untuk bertemu dengannya yang jarak perjalanan hampir 50 minit. Belum tentu berjumpa orang yang dicari. Jika tidak ditemui terpaksa balik semula ke pekan Kemaman. Terpaksa pergi lagi mencarinya di hari lain.

Di Kampung Pasir Raja terdapat kurang dari 100 pengundi. Calon terpaksa pergi bagi mengadakan satu ceramah. Rombongan PAS Terengganu diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan beberapa orang lagi menggunakan dua bot sangkut untuk pergi ke Pasir Raja melalu sungai dari Dungun. Di tempat yang cetek, bot itu terpaksa ditolak. Sehari pergi, sehari menghubungi orang tempatan bagi mengadakan ceramah sebelah malamnya. Sehari pula balik ke Dungun. Untuk mengadakan satu ceramah kepada sekitar 100 pengundi mengambil masa tiga hari.

Selama tiga bulan kempen di Kemaman, saya hanya pergi kira-kira satu per tiga dari lokaliti di kawasan itu. Saya tidak dapat bertemu dengan semua pengundi. Dengan tempoh kempen dua minggu saja, saya tidak dapat memperkenal diri sebagai calon kepada separuh daripada pengundi.

Ramai pemuda yang bekerja untuk calon Umno datang mengambil poster PAS untuk menampalnya secara sukarela. Mereka gantung poster PAS dan poster BN berselang seli pada satu tali.

Pada pilihan raya itu ada seorang pemuda bernama Ismail dan dipanggil We hampir setiap hari datang membuat kerja di pos PAS dan Bukit Mentok di pinggir pekan Chukai.

Biasanya kerjanya mencari batang buluh untuk memasang bendera PAS. Pemuda-pemuda di situ tidak ramai, tetapi We adalah seorang pekerja yang tekun. Setiap kali saya ke situ dia ada.

Dia tidak termasuk dalam seranai orang kuat PAS kawasan kerana dia seorang pekerja biasa dalam PAS. Walaupun dia tidak banyak bercakap dengan calon tetapi saya ingat dia dan namanya.

Pemuda ini dalam tahun 90-an jadi salah seorang kuat PAS kawasan Kemaman dan hari ini dia jadi Yang Dipertua PAS Kawasan. Dalam tahun 1999 dia jadi seorang dari Adun dari kawasan Kemaman.

Sekalipun saya berada tiga bulan saja, sempat pergi ke satu per tiga dari kawasan, tetapi saya dapat kira-kira satu per tiga dari jumlah pengundi. Saya dapat ssekitar 10 ribu dari lebih 30 ribu pengundi.

Itulah kisah ringkas yang dapat saya sampaikan kepada sekitar 5,000 orang yang hadir dalam majlis penyampai anugerah tokoh di Kemasik.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Sekitar Kemaman

Jangan Salahguna Wang Rakyat Untuk Pengaruh Politik

(disiarkan sebagai berita di dalam Sinar Harian, 17 Januari 2011)

 

Parti Keadilan Rakyat Cabang Kemaman memandang berat gesaan yang dibuat oleh Veteran UMNO supaya ahli-ahli veteran UMNO diberikan elaun RM200 setiap bulan. Gesaan itu dibuat dalam Majlis Mesra Veteran yang diadakan pada 13 Januari 2011.

Sementara Keadilan memandang tinggi sumbangan warga emas dan prihatin dengan bebanan kos sara hidup yang meningkat yang dihadapi mereka, sebarang elaun atau imbuhan perlulah diberikan kepada semua warga emas di Terengganu. Cukup-cukuplah wang rakyat digunakan sebagai senjata politik. Sebelum ini, beratus juta wang rakyat disalurkan melalui wang ehsan untuk  menindas keluarga miskin yang berfahaman politik berlainan di Terengganu.

Saya menyeru Menteri Besar supaya pandai membezakan tanggungjawab kepada seluruh rakyat Terengganu apabila menjawat jawatan Menteri Besar, bukannya dari perspektif Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu sahaja.

Contohilah Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang memperkenalkan Skim Mesra Usia Emas kepada seluruh warga tua tanpa mengira kaum atau pegangan politik. Skim tersebut memberikan bantuan RM1,000 bagi warga emas yang sakit dan khairat kematian sebanyak RM2,500 kepada waris.

Kerajaan Terengganu telah meminjam perkataan “merakyatkan” dari dasar Kerajaan Selangor. Sudah sampai masanya ia juga menerima pakai semangat yang dilambangkan oleh perkataan “merakyatkan” iaitu bantuan kepada semua rakyat tanpa ada diskriminasi.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

Ketua Cabang Keadilan Kemaman

14 Januari 2011

 

Leave a comment

Filed under Kenyataan Media

Pelancaran Markas Keadilan Kemaman

 

Alhamdulillah, Cabang Kemaman telah bersetuju untuk melancarkan satu markas baru sesuai dengan tumpuan dan perancangan kita bagi tahun ini. Pejabat lama di tengah-tengah bandar Kemaman dirasakan tidak sesuai kerana berbentuk bilik dan tidak ada dewan, disamping berada di tingkat atas bangunan kedai di tengah-tengah bandar.

Untuk memastikan kita mempunyai satu pusat yang boleh dipelbagaikan aktiviti – contohnya ceramah, dewan, latihan, pusat komuniti dan lain-lain, AJK-AJK Cabang telah memilih sebuah rumah banglo dua tingkat di tepi jalan besar Kemasek sebagai markas. Ia juga bertepatan dengan tumpuan kita menggempur DUN Kemasek, satu-satunya DUN yang tidak pernah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat di Terengganu.

Naib Presiden parti, YB Nurul Izzah telah bersetuju untuk meluangkan masa menyempurnakan pelancaran markas baru. Kehadiran beliau akan dimanfaatkan dengan satu majlis minum petang dengan aktivis dan rakyat setempat.

Pelancaran bermula jam 3 petang, Jumaat 21 Januari 2011. Semua dijemput hadir.

1 Comment

Filed under Aktiviti Cabang

Jadual Ketua Cabang 12 – 16 Jan 2011

Rabu 12 Jan : Mesyuarat Biro Politik

Khamis 13 Jan : Mesyuarat Pakatan, Persediaan program cabang di Kemaman

Jumaat 14 Jan : Ceramah kelompok di Ayer Jerneh dan Sri Bandi (Kemaman), Forum Subsidi dan Dialog dengan aktivis mahasiswa (Selangor Chinese Assembly Hall)

Sabtu 15 Jan : Mesyuarat MPN Terengganu, Temurapat Pimpinan/Aktivis Terengganu dengan DS Anwar Ibrahim, Hi Tea DS Anwar Ibrahim dengan rakyat (semua di Kemaman)

Ahad 16 Jan : Diskusi Buku Jingga dengan kepimpinan Cabang Gombak bersempena temurapat Cabang Gombak (Bentong), Mesyuarat Contact Group dengan NGOs

 

Leave a comment

Filed under Aktiviti Cabang

Temurapat DSAI Dengan Pimpinan Terengganu dan Program Hi Tea @ 15 Januari

 

JADUAL DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM DI KEMAMAN,

15 JANUARI 2011

10 pagi – 1130 pagi : Mesyuarat MPN dipengerusikan Pengerusi MPN yang baru, YB Azan Ismail

1200 tengahari : Ketibaan DSAI, dibawa ke pelancaran Jom Tawan Terengganu anjuran PAS Terengganu

2 petang – 4 petang : Temurapat tertutup dengan pimpinan dan aktivis Keadilan Terengganu di Restoran Bangkok Kitchen

5 petang – 7 malam : Program Minum Petang bersama DSAI di Restoran Bangkok Kitchen, masuk adalah percuma

9 malam : Ceramah Perdana

Leave a comment

Filed under Ceramah

Keadilan Kemaman Akan Anjurkan Forum Buku Jingga

Keadilan Kemaman akan menganjurkan Forum Buku Jingga dalam bulan Februari 2011, untuk melancarkan usaha menyebarkan risalah Buku Jingga secara besar-besaran ke seluruh negara.

Buku Jingga memuatkan rancangan-rancangan khusus yang akan dijalankan oleh Pakatan Rakyat. Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang dimuatkan di dalam Buku Jingga mendapat liputan meluas seluruh negara, sehingga Perdana Menteri sendiri berjanji akan menjawab setiap rancangan yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat.

 

UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA !

Setelah 53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis. Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur telah gagal.

Demokrasi dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa membarah. Kekayaan negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa. UMNO/BN tidak mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh pemerintah. Daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat.

Krisis parah sebegini memerlukan tekad dan azam politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru dengan membuat anjakan paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan politik             (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang dimeterai.

Dasar Bersama adalah berlandaskan 4 kerangka asas iaitu:

  1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
  2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
  3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
  4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.

Muafakat asas yang membentuk Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Tiga perkara pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Kami untuk:

  1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

 

  1. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.

 

  1. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.

 

Ketetapan Pakatan Rakyat mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini. Sejarah besar yang dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.

Agenda Pakatan ini adalah nadi kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pegangan untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan dalam semua aspek. Agenda ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk menggembleng muafakat semua pihak. Ini perlu demi membebaskan institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian kecil golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.

Pakatan Rakyat juga meletakkan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama sebagai teras kepada kesemua program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, demi membela nasib rakyat terbanyak.

Malaysia berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara serantau yang pernah setanding dengan kita. Tatkala Malaysia masih meraba-raba mencari penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita. Darjat ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah merudum.

Lebih parah lagi, pemerintah yang bongkak dan mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat. Bantuan-bantuan kepada rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot secara rakus.

Tindakbalas pemerintah juga adalah songsang dan tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya saing negara. Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji untuk membawa ‘transformasi ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang bertentangan dengan tuntutan reformasi.

Makanya, negara dan rakyat berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan menunggang institusi-institusi negara demi menutup kelemahan sendiri dan menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa. Matlamat kuasa BN adalah untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan sosial yang semakin menghimpit.

Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan sedia ada adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala kerosakan bangsa dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari status malap kepada gelap.

Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera. Pakatan Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan masyarakat kita.

Agenda Pakatan ini menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil. Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. Hasrat ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran dan institusi-institusi negara.

Agenda Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan oleh Dasar Bersama. Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat.

Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.

 

 

Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Y.B. Lim Kit Siang

Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Ketua Umum

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Ketua Ahli Parlimen

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Presiden

Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

 

PROGRAM 100 HARI PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, kami akan melaksanakan program berikut:

  1. Mereformasikan insititusi SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
  2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  3. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.
  6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  8. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

 

 

 

Leave a comment

Filed under Nasional