Category Archives: Kenyataan Media

Jangan Salahguna Wang Rakyat Untuk Pengaruh Politik

(disiarkan sebagai berita di dalam Sinar Harian, 17 Januari 2011)

 

Parti Keadilan Rakyat Cabang Kemaman memandang berat gesaan yang dibuat oleh Veteran UMNO supaya ahli-ahli veteran UMNO diberikan elaun RM200 setiap bulan. Gesaan itu dibuat dalam Majlis Mesra Veteran yang diadakan pada 13 Januari 2011.

Sementara Keadilan memandang tinggi sumbangan warga emas dan prihatin dengan bebanan kos sara hidup yang meningkat yang dihadapi mereka, sebarang elaun atau imbuhan perlulah diberikan kepada semua warga emas di Terengganu. Cukup-cukuplah wang rakyat digunakan sebagai senjata politik. Sebelum ini, beratus juta wang rakyat disalurkan melalui wang ehsan untuk  menindas keluarga miskin yang berfahaman politik berlainan di Terengganu.

Saya menyeru Menteri Besar supaya pandai membezakan tanggungjawab kepada seluruh rakyat Terengganu apabila menjawat jawatan Menteri Besar, bukannya dari perspektif Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu sahaja.

Contohilah Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang memperkenalkan Skim Mesra Usia Emas kepada seluruh warga tua tanpa mengira kaum atau pegangan politik. Skim tersebut memberikan bantuan RM1,000 bagi warga emas yang sakit dan khairat kematian sebanyak RM2,500 kepada waris.

Kerajaan Terengganu telah meminjam perkataan “merakyatkan” dari dasar Kerajaan Selangor. Sudah sampai masanya ia juga menerima pakai semangat yang dilambangkan oleh perkataan “merakyatkan” iaitu bantuan kepada semua rakyat tanpa ada diskriminasi.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

Ketua Cabang Keadilan Kemaman

14 Januari 2011

 

Leave a comment

Filed under Kenyataan Media

Terima Kasih Kepada JK Cabang Sessi Lepas

Assalamualaikum wbth dan salam sejahtera, salam reformasi,

Mewakili seluruh JK Cabang, JK AMK dan JK Wanita KEADILAN Cabang Kemaman bagi sessi 2010 – 2013, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan kepimpinan cabang yang lepas, diketuai Hj Abdul Rahman Yusuf.

Proses pemilihan di peringkat cabang berjalan dengan baik, dengan kehadiran mencecah angka 25% dari jumlah keahlian. Ini satu pencapaian yang membanggakan bagi Cabang Kemaman kerana ia setanding dengan purata kehadiran di peringkat nasional, di samping terus menjadi cabang yang paling aktif di Terengganu.

Kelancaran proses pemilihan dan Mesyuarat Agong Tahunan Cabang (MATC) yang lepas juga adalah berkat usaha JK Cabang sessi lalu, yang memastikan semua persediaan dibuat dengan rapi.

Insya Allah, peralihan yang lancar kepada muka-muka baru di Cabang Kemaman akan meneruskan usaha baik JK yang lalu untuk membina kekuatan KEADILAN sebagai persediaan menghadapi PRU13 bagi kerusi Parlimen Kemaman.

Saya memohon mandat dan kerjasama semua teman-teman di cabang untuk memberikan sokongan bagi melaksanakan pelbagai program dan perancangan yang disusun setakat ini.

Berkat rakyat dan usaha aktivis parti, Insya Allah Cabang Kemaman akan terus membina kekuatan.

Sekian, wassalam.

MOHD RAFIZI RAMLI

Ketua Cabang, 2010 – 2013

Leave a comment

Filed under Kenyataan Media